Published with Blogger-droid v1.6.6
Bangunan  Sultan Abdul Samad adalah merupakan mercu tanda yang sangat sinonim bagi  bandaraya Kuala Lumpur hatta negara Malaysia. Kehadiran,  keunikan dan identiti seni bina yang terdapat pada bangunan tersebut mendapat  pujian dan sanjungan dari segenap lapisan penduduk Malaysia mahupun luar negara.  Bangunan ini telah berjaya menjadi ikon kepada Kuala Lumpur dan beberapa perayaan penting  seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka dan acara-acara yang  membabitkan promosi pelancongan negara.
                      Bangunan  ini telah direka oleh arkitek berbangsa British, A. C. Norman dan A. B. Hubbock  yang pada waktu itu bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur pada tahun  1894. Batu asas pembinaan telah diletakkan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu  Sir Charles Mitchell pada 6 Oktober 1894. Bangunan ini siap dan dirasmikan pada  tahun 1897 oleh Residen British, Sir Frank Swettenham. 
Nama Bangunan Sultan Abdul Samad diambil sempena  nama Sultan Negeri Selangor pada masa itu. Bangunan Sultan Abdul Samad terletak  di lokasi strategik bandaraya Kuala Lumpur iaitu berhadapan dengan Padang Kelab  Selangor dan persimpangan jalan-jalan penting seperti Jalan Tun Perak, Jalan  Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.                      
 
 
No comments:
Post a Comment